Hadith : Beriman Kepada Allah dan RasulNya s.a.w, Hukum-hukum Agama, Menuntut Ilmu dan Menyampaikannya

Apr 16 2009

Bab Perintah Supaya Beriman Kepada Allah S.W.T. Dan RasulNya S.A.W, Hukum-hukum Agama Serta Seruan Kepadanya, Menuntut Ilmu, Memelihara Dan Menyampaikannya Kepada Orang Yang Tidak Sampai Seruan

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rombongan Abdul Qais telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Kami berasal dari perkampungan Rabi’ah. Hubungan kami dan engkau terhalang oleh orang-orang kafir Bani Mudhar. Oleh itu kami tidak dapat datang menemuimu kecuali pada bulan Haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Oleh yang demikian, perintahkanlah kami dengan sesuatu yang mampu kami lakukan dan kami sampaikan kepada orang lain.

 

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Aku memerintahkan kamu empat perkara dan melarang kamu empat perkara. Iaitu beriman kepada Allah. Kemudian baginda menjelaskannya kepada mereka. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Mengucap Dua Kalimah Syahadat, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mengeluarkan satu perlima dari harta rampasan perang. Manakala aku melarang kamu agar tidak membuat arak di dalam bekas yang diperbuat dari labu, bekas yang diperbuat dari tanah, bekas yang diperbuat secara melubangkan batang pokok atau bekas yang dilumur dengan tar.

 

  • Riwayat :
    • Bukhari - Kitab Iman, Hadith No. 51
    • Muslim - Kitab Iman, Hadith No. 23
    • Tirmizi - Kitab Strategi, Hadith No. 1525 & Kitab Iman, Hadith No. 2536
    • Nasaie - Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya, Hadith No. 4945 & Kitab Minuman, Hadith No. 5453, 5549, 5597
    • Abu Daud - Kitab Minuman, Hadith No. 3205, 3207, 3210 & Kitab Sunnah, Hadith No. 4057
    • Ahmad Ibnu Hambal - Kitab Juzuk 1, Muka Surat 228, 274, 291, 304, 341, 361

Hadith : Rukun-Rukun Islam Dan Tuntutannya Yang Agung

Apr 16 2009

Hadith

Dari Ibnu Umar r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: Islam ditegakkan di atas lima perkara iaitu mengesakan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan Haji.

 

  • Riwayat :
    • Bukhari - Kitab Iman, Hadith No. 7
    • Muslim - Kitab Iman, Hadith No. 19
    • Tirmizi - Kitab Iman, Hadith No. 2534
    • Nasaie - Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya, Hadith No. 4915
    • Ahmad Ibnu Hambal - Kitab Juzuk 2, Muka Surat 26, 92, 120, 143